comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pembantu rumah warga Indonesia dituduh curi duit majikan RM20,000

Devi Wulandari, 31, tidak mengaku salah curi wang majikan berjumlah RM20,000 dan tinggal di Malaysia selepas pas khas tamat tempoh. – FOTO: NSTP

MELAKA: Bukan sahaja tinggal di Malaysia selepas tamat tempoh pas khas, tetapi seorang pembantu rumah warga Indonesia turut dituduh di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan mencuri wang tunai kira-kira RM20,000 milik majikannya, 16 Mei lalu.

Devi Wulandari, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dalam prosiding di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni sebaik pertuduhan dibacakan dan diterangkan oleh jurubahasa mahkamah.

Bagi pertuduhan pertama, Devi sebagai pembantu rumah didapati mencuri harta majikannya iaitu wang tunai kira-kira RM20,000, kad pengenalan serta kad Orang Kurang Upaya (OKU) milik Loh Chin Yee, 42, di sebuah rumah di Jalan Rusa 1, Taman Sin Hoe, Bukit Baru, di sini, sekitar jam 12.15 tengah hari pada 16 Mei lalu.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan boleh didenda mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan.

Tertuduh yang memegang pasport Indonesia turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tinggal di negara ini selepas pas khas tamat tempoh iaitu selama 11 bulan, dua minggu dan empat hari tanpa sebab yang munasabah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pekarangan Balai Polis Malim dalam daerah Melaka Tengah di sini pada 8 Oktober lalu, kira-kira 5.31 petang.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(4) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan dibenarkan mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 3 Disember depan bagi serahan dokumen dan melantik peguam bela.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini