comscore
Tumpuan :
Nasional

Pembantu pengajar GISBH mengaku tidak bersalah lakukan amang seksual terhadap kanak-kanak

Muhammad Fawzun Azim didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas tuduhan melakukan amang seksual ke atas kanak-kanak.

Oleh: Fahmi Tajuddin

SEREMBAN: Seorang pembantu pengajar di sebuah madrasah di Kuala Pilah yang terkait dengan syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings (GIBSH) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak berusia 10 hingga 13 tahun.

Tertuduh, Muhammad Fawzun Azim Bin Ismail, 20, didakwa melakukan suatu amang seksual fizikal ke atas dua mangsa berusia 12 dan 13 tahun dengan membuatkan dan menyuruh kanak-kanak itu membuat sentuhan fizikal ke atas tertuduh secara seksual bagi maksud seksual.

Perbuatan berkenaan didakwa dilakukan Madrasah Dinul Hayah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan sekitar tahun 2023.

Tertuduh dihadapkan atas enam pertuduhan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 atau Akta 792 termasuk Seksyen 14 (b) akta yang sama.

Mahkamah membenarkan wang jaminan sebanyak RM12,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa serta saksi.

Tertuduh juga diperintah menyerahkan pasport antarabangsa selain perlu melaporkan diri ke balai polis setiap bulan dan penjamin perlu memastikan tertuduh boleh dihubungi pada bila-bila masa serta memastikan kehadirannya kelak.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 30 Oktober depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini