SEREMBAN: Seorang pembantu kedai makan yang dipercayai mempunyai masalah kemurungan dilaporkan hilang selepas beberapa hari gagal dikesan dan tidak pulang ke rumahnya di Gemas.
Ketua Polis Daerah Tampin, Supt Amiruddien Sariman berkata, polis menerima laporan kehilangan lelaki itu dikenali sebagai Mohd Farid Zulkafli, 36, kira-kira 4 petang semalam.
“Laporan polis dibuat seorang perempuan memberitahu adik lelakinya keluar dari rumah pada 6 pagi Rabu lepas di Taman Pinggiran Felda Sungai Kelamah, Gemas untuk bekerja.
“Lelaki itu masih belum pulang sehingga semalam dan juga tidak pulang ke rumah ibunya di Felda Serting Hilir, Jempol,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa yang tidak mempunyai telefon bimbit dan kenderaan, kali terakhir ditemui majikannya di Taman Sri Rompin, Jempol dan memberitahu ingin pulang ke kampung di Felda Serting Hilir.
Mohd Farid yang mempunyai ketinggian kira-kira 156 sentimeter, berbadan kurus dan berambut pendek hitam, memakai baju T berwarna biru bertulis Barisan Nasional serta berseluar slek hitam.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi pegawai penyiasat kes ASP Mohd Rodzi Md Saad di talian 07-9481221 dan Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin di talian 06-4431999 atau mana-mana balai polis berhampiran.- BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.