comscore
Tumpuan :
Nasional

Pembangunan semula tapak pasar Datuk Keramat perlu dipelihara kepentingan peniaga – Johari Abdul Ghani

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu memastikan pemaju yang mahu membangunkan semula tapak pasar Datuk Keramat di sini pada masa depan, mematuhi kriteria ditetapkan bagi mewujudkan situasi menang-menang dengan peniaga sedia ada.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kriteria itu termasuk latar belakang pemaju yang meyakinkan, kedudukan kewangan yang kukuh serta dapat menyelesaikan isu pemindahan peniaga di pasar tersebut.

Tegas Datuk Seri Johari yang juga Menteri Komoditi dan Perladangan, beliau tidak mahu isu pembangunan semula tapak pasar itu yang tergendala lebih enam tahun sebelum ini kerana kesilapan memilih pemaju berulang pada masa depan.

Jelas beliau, tapak pasar Datuk Keramat itu kini sudah diambil semula oleh DBKL selepas pemaju sebelum ini gagal melaksanakan projek seperti dirancang sehingga menyusahkan para peniaga di pasar tersebut.

“Sebab dulu apabila kita beri tanah tapak pasar itu tetapi pemaju gagal melakukan apa-apa, kita berdepan banyak masalah.

“Bila ada kerosakan di pasar itu, pemaju tidak betulkan, nak minta DBKL betulkan tidak boleh sebab tapak pasar itu bukan lagi di bawah tanggungjawab mereka, jadi timbul masalah kepada para peniaga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bakul makanan dalam Program Santuni MADANI di Masjid Al-Akram Datuk Keramat, di sini hari ini.

Menurut Johari, pihaknya terbuka dengan sebarang projek pembangunan di tapak pasar Datuk Keramat itu termasuk dalam rancangan pembangunan sebelum ini iaitu bagi membina perumahan mampu milik yang turut memberi keuntungan kepada penduduk setempat.

Bagaimanapun, ujar beliau, sebarang perancangan pembinaan komersial di tapak itu perlu dipastikan melindungi kepentingan peniaga di kawasan tersebut yang ada daripadanya sudah berniaga lebih 30 tahun di pasar terbabit.

“Kalau ada pemaju yang mahu bangunkan semula tapak pasar itu boleh, tetapi beritahu kita mana nak pindahkan peniaga-peniaga di situ?

“Kita tak boleh nak buat projek pembangunan tetapi halau peniaga-peniaga yang sudah lebih 30 tahun berniaga, kena ada situasi menang-menang.

“Mereka juga berniaga secara sah di situ dan tapak pasar itu bukan tapak haram, memang disediakan sejak lama sebagai tapak pasar sejak lebih 30 tahun lalu, jadi kita kena fikir soal pendapatan peniaga-peniaga ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini