Tumpuan :
Nasional

Pembangunan semula Gaza tumpu kepada fasiliti penting – Ahmad Zahid

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Oleh: Hilmi Abdul Malik

KUALA LUMPUR: Usaha untuk membangunkan semula Gaza akan tertumpu kepada pembangunan fasiliti penting yang merupakan keperluan penduduk yang menjadi mangsa jenayah perang rejim zionis.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tidak timbul sebarang isu untuk mengetepikan pembangunan dalam negara seperti yang didakwa oleh Tan Sri Rafidah Aziz.

Tegas Ahmad Zahid, komitmen kerajaan dalam mengutamakan rakyat akan tetap diteruskan namun inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membantu saudara yang ditindas di Gaza wajar mendapat dokongan.

“Keutamaan kepada kebajikan dan kesempurnaan di negara ini terus diutamakan namun kita tidak melupakan rakan-rakan kita yang berada di Gaza dan Tebing Barat.

“Tentunya komitmen Datuk Seri Anwar harus mendapat dokongan dan kerjasama dengan Jepun umpamanya adalah satu kerjasama strategik dari segi pembangunan semula.

“Sebagaimana yang dinyatakan oleh Datuk Seri Anwar, keutamaan adalah untuk bina hospital, sekolah, dan masjid, kalau itu pun salah saya tak tahu apa maksud Tan Sri Rafidah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri rakaman Podcast Utama terbitan unit digital, Buletin TV3 hari ini.

Semalam, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz berpandangan kerajaan harus memberi keutamaan kepada keperluan rakyat sebelum memulakan rancangan untuk membangunkan semula Gaza yang musnah akibat serangan rejim Zionis.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini