Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki
KUALA LUMPUR: Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur DBKL diarahkan supaya menyediakan blok rumah MADANI bagi setiap projek pembangunan perumahan baharu untuk golongan b40 dan m40 sebagai syarat bagi permohonan kelulusan dipercepatkan.
Perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan boleh mempercepatkan proses kelulusan pembangunan perumahan itu,
“Buat perumahan baharu dia ada tanah ok,kita luluskan bagi kelonggaran kita boleh percepatkan tetapi syarat dia mesti ada satu atau dua blok rumah madani untuk rakyat memanfaatkan daripadanya”
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan sempena majlis peluncuran Perumahan Penjawat Awam Malaysia MADANI di ibu negara siang tadi.
Dalam majlis hari ini seramai 843 penjawat awam daripada pelbagai skim dan gred perkhidmatan telah ditawarkan untuk memiliki unit perumahan di Piksel City Sentral, Nikka City Sentral dan Amansuri di Bandar Sri Permaisuri.
Program PPAM MADANI merupakan satu program perumahan mampu milik khas untuk penjawat awam terutamanya yang berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah yang berkualiti di lokasi yang strategik khususnya di lawasan bandar dengan harga yang lebih rendah dari pasaran.
Ia dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara kerajaan dengan pemaju perumahan swasta di atas tanah persendirian atau tanah milik kerajaan persekutuan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.