Tumpuan :
Nasional

Pembangunan luar bandar: Agensi bawah KKDW perlu jalin kerjasama dengan sektor swasta

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berucap ketika Majlis perhimpunan Bulan Oktober Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Tahun 2024 di Auditorium Wisma Felcra, Kuala Lumpur, hari ini.

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

KUALA LUMPUR: Kerjasama antara agensi-agensi kerajaan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan sektor swasta memainkan peranan yang kritikal dalam memacu pembangunan luar bandar yang lebih holistik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kolaborasi itu bukan sahaja mampu menggalakkan inovasi, malah mempercepatkan proses pembangunan dan mencapai hasil yang lebih berkesan.

“Beberapa cadangan awal yang boleh dikembangkan dalam jalinan kerjasama dengan pihak swasta termasuklah KKDW boleh melancarkan ‘boot camp’ literasi digital intensif melalui KEMAS, yang melengkapkan belia luar bandar dengan kemahiran seperti ‘coding’, pemasaran digital, atau ‘cyber security’.

“Saya juga mahu KKDW bekerjasama dengan syarikat pelancongan, hotel dan agensi pelancongan untuk mempromosikan pengalaman pelancongan luar bandar yang menonjolkan tradisi tempatan, kraf tangan, dan eko-pelancongan,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Perhimpunan Bulan Oktober KKDW 2024, di Wisma FELCRA, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, institusi swasta dapat membantu menarik pelancong ke desa dan meningkatkan pendapatan tambahan untuk komuniti, selain mencipta peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

Ujarnya lagi, penglibatan sektor swasta dapat mempercepatkan pembangunan dengan memanfaatkan kepakaran teknologi, modal dan akses kepada pasaran yang lebih luas.

Perhimpunan kali ini juga menyaksikan 20 pegawai KKDW menerima watikah dan pemakaian pangkat Pegawai Kehormat dan Bersekutu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Selain itu, turut diadakan penyampaian Anugerah Pekerja MADANI kepada sembilan kakitangan KKDW yang terpilih bagi menghargai sumbangan dan pencapaian mereka.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini