Oleh: Kadir Edison
KUCHING: Pembangkang diminta untuk menghantar surat cadangan kepada kerajaan mengenai kehendak mereka dalam perbincangan mengenai peruntukan ahli parlimen bukan kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pihaknya memerlukan komitmen daripada pihak pembangkang untuk meneruskan sebarang rundingan semula mengenai peruntukan untuk ahli parlimen blok berkenaan.
Komitmen itu perlu susulan pembangkang telah menyatakan tidak bersetuju dan menolak draf cadangan yang dikemukakan kerajaan kepada pembangkang untuk membolehkan penyaluran peruntukan untuk ahli parlimen terlibat.
“Bila sudah ada surat cadangan barulah kita dapat tubuhkan jawatankuasa. Nanti bercakap di media, tapi tidak melaksanakan apa-apa. Jadi nak buat apa, jadi tidak dapat nak buat apalah.
“Maka sebab itu saya mengatakan, bagi cadangan dan apabila saya sudah menerima cadangan, jadi saya akan tubuhkan jawatankuasa diperingkat kerajaan dan jawatankuasa diperingkat pembangkang, barulah kita bincang.
“Tetapi sekarang apa yang hendak bincang, sebab mereka sebelum ini mengatakan mereka sudah tidak mahu, yang mahu hanya seorang Syed Sadiq sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan Geran kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), masjid dan surau bagi kawasan Parlimen Petra Jaya di Kuching.
Jelas Fadillah, kerajaan bersedia untuk membincangkan perkara itu semula namun perlu ada cadangan yang dikemukakan oleh pembangkang mengenai perkara itu.
Khamis lalu, Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya akan menghantar surat bagi mendapatkan pengesahan sama ada Perikatan Nasional (PN) perlu menghantar surat cadangan bagi membolehkan penubuhan jawatankuasa itu.
Jelasnya, Pembangkang juga akan bersetuju untuk ditubuhkan Jawatankuasa baharu selepas pihaknya mendapat pengesahan daripada kerajaan tentang keperluan untuk PN menghantar surat cadangan terbabit.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.