comscore
Tumpuan :
Nasional

Pembakaran di luar negara punca jerebu

Oleh: Izzatie Rizan

PUTRAJAYA: “Data yang kita terima memang ada pembakaran dari luar negara” itu kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad susulan keadaan jerebu yang berlaku di negara ketika ini.

Beliau berkata data yang diperolehi dari Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menunjukkan wujud aktiviti pembakaran dari negara jiran, Indonesia.

Nik Nazmi berkata, meskipun negara jiran itu menafikannya, namun Malaysia akan terus menggunakan platform ASEAN agar masalah itu dapat ditangani bersama.

“Kita tentulah melihat berdasarkan data-data yang kita peroleh daripada Jabatan Alam Sekitar dan Met Malaysia dan agensi-agensi di bawah NRCC. Saya tidak mahu memanjangkan perkara itu tetapi kita merujuk kepada data-data tersebut .

Pada masa yang sama saya juga tekankan memang pernah berlaku kebakaran di negara kita pun ada…bukan kita kata tak pernah berlaku pada sekitar bulan Mei memang ada kebakaran namun data terkini yang saya terima setakat ini mencatatkan belum ada kebakaran di dalam negara yang menjadi titik panas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan kunjungan di Taman Tema Wetlands Studio, Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut ujar Nik Nazmi, beliau telah mengutuskan surat kepada syarikat-syarikat perladangan Malaysia di Indonesia agar memberi kerjasama kepada pihak berkuasa tempatan.

“Saya telah menghantar surat perladangan (kepada syarikat Malaysia) yang ada kepentingan termasuk di Indonesia untuk memastikan mereka bekerjasama dengan pihak berkuasa di sana.

Laporan kita dapat beberapa tahun kebelakangan ini, trend kerjasama syarikat-syarikat Malaysia beroperasi di sana lebih positif berbanding dahulu,”katanya.

Sementara itu mengulas Operasi Pembenihan  Awan (OPA), beliau berkata pihaknya akan melakukan pemantauan berterusan terlebih dahulu berhubung keperluan perkara itu.

“Operasi Pembenihan  Awan (OPA) akan dilakukan sekiranya Indeks Pencemaran Udara (IPU) merekodkan bacaan 150 dalam tempoh lebih daripada 24 jam.

Kerajaan Indonesia hari ini, melalui Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan (KLHK) menafikan dakwaan kebakaran hutan di Sumatera dan sebahagian pulau Borneo yang menyelubungi beberapa bandarnya dengan jerebu tebal  menjejaskan kualiti udara di negara ini.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini