Tumpuan :
Nasional

Pemasangan pam bergantung situasi paras air sungai – JPS Johor

Kerja-kerja pemasangan unit pam bergerak hidraulik berkapasiti 280 liter/saat di Sungai Air Putih, Parit Sulung, Batu Pahat, Johor, semalam. – FOTO: BPME JPS Johor / Facebook

BATU PAHAT: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Johor berdepan cabaran untuk memasang pam air bergerak kerana situasi paras air sungai masih berada pada tahap bahaya terutamanya melibatkan daerah Batu Pahat di sini.

Pengarah JPS Johor, Azren Khalil berkata pihaknya perlu memastikan air sungai tidak melepasi tebing dan kesesuaian lokasi untuk memasang pam bergerak itu.

Setakat pagi ini, beliau berkata empat daripada 14 stesen air di daerah Batu Pahat masih berada pada tahap bahaya iaitu Empangan Bekok, Sungai Simpang Kiri di Seri Medan dan Parit Sulong serta Sungai Senggarang di sini.

Menurutnya, sebanyak 15 pam sudah dipasang di Batu Pahat iaitu empat pam di Pintu Air Kuala Senggarang, Parit Bintang (dua), Parit Jambul (dua) dan masing-masing satu di Parit Londang, Parit Asam Kumbang, Parit Lapis, Parit Sulong, Sungai Kajang, Parit Separap, Taman Botani di Sri Medan, yang antaranya sudah dipasang pada 2011.

FOTO: BPME JPS Johor / Facebook

“Pam ini digunakan untuk buang air ke dalam sungai atau laut tetapi selagi paras air melepasi tebing (sungai), kita tidak akan pam kerana itu hanya kerja sia-sia.

“Kita perlu menunggu air tidak melepasi tebing sebelum kerja-kerja pemasangan dan operasi pam dilakukan…kita akan melihat air pada paras amaran sekurangnya-kurangnya serta kesesuaian lokasi (sebelum dipasang pam),” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini, hari ini.

Azren berkata selain itu, sebanyak 31 pam bergerak turut dipasang di daerah Mersing, Johor Bahru, Tangkak, Muar, Pontian dan Kota Tinggi bagi mengatasi situasi air banjir di Johor.

Beliau berkata pam yang berkapasiti antara lima hingga 20 cusec (kaki padu per saat) itu akan beroperasi untuk mengepam air selama empat jam dan akan ‘direhatkan’ dalam tempoh satu jam bagi memastikan enjin tidak mengalami kerosakan.

Katanya, dengan penggunaan pam bergerak ini, pihaknya menjangkakan air banjir akan surut dalam tempoh dua minggu hingga sebulan di Batu Pahat.

Azren berkata penempatan pam bergerak ini akan memberi kesan kepada pengurangan kadar air banjir di Batu Pahat terutamanya di kawasan rendah.

Sementara itu, mengenai dakwaan penduduk berhubung pembukaan pintu empangan di sekitar Batu Pahat yang ‘memburukkan’ situasi banjir di daerah itu, Azren berkata pintu air Empangan Bekok dan Empangan Sembrong dibuka lebih besar daripada keadaan normal.

Beliau berkata pembukaan pintu empangan itu berdasarkan prosedur operasi standard ketika aras air di empangan mencecah paras bahaya bagi memelihara struktur dan keselamatan empangan.

Menurutnya, pelepasan air berkenaan sedikit sebanyak memberi kesan kepada peningkatan air, namun ia juga bertujuan melindungi penduduk daripada mengalami bencana yang lebih besar sekiranya empangan mengalami kegagalan.

“Seperti di Empangan Bekok, kita buka pintu sebelum ini luas satu meter tetapi penjaga empangan memaklumkan tanah bergegar dan bagi mengelakkan keretakan, kini kita buka dalam kelebaran (pintu) 0.3 meter,” katanya.

Azren berkata keseluruhannya setakat ini, situasi banjir di Batu Pahat sudah mula menunjukkan trend penurunan walaupun masih terdapat kawasan mula dinaiki air berikutan pergerakan air banjir dari kawasan hulu selain keadaan aras air banjir semakin terkawal berbanding permulaan banjir pada 28 Februari lepas.

Setakat 8 pagi tadi, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir di Johor merekodkan seramai 42,638 orang dengan Batu Pahat mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 39,870 orang. – BERNAMA

Loading...
Terkini