comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemasangan pagar elektrik pilihan akhir henti ancaman gajah liar – Pengarah PERHILITAN KEDAH

Screenshot dari rakaman CCTV menunjukkan sekumpulan gajah menceroboh kawasan dusun di Kampung Pinang, Pedu di Padang Terap.

Oleh Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) negeri Kedah hanya boleh melakukan aktiviti menghambat kumpulan gajah liar yang memasuki kebun di Pedu untuk kembali ke dalam hutan.

Pengarahnya, Jamalul Nasir Ibrahim ketika dihubungi Buletin TV3 berkata, kumpulan gajah yang didakwa menceroboh lebih 30 kebun dan dusun di sekitar Kampung Pinang itu berasal dari kawasan hutan di sekitar Pedu dan tidak boleh dipindahkan.

“Kita ada menerima aduan daripada pekebun dan penduduk di kawasan yang terjejas. Namun, ianya memang habitat asal kumpulan gajah berkenaan. Justeru, pilihan terbaik yang ada ketika ini adalah dengan menghambat kumpulan gajah ini kembali ke habitat asalnya.”

Pilihan lain yang ada katanya, adalah dengan memasang pagar elektrik di lokasi tumpuan kumpulan gajah itu.

Pengarah PERHILITAN Kedah, Jamalul Nasir Ibrahim.

“Pemasangan pagar elektrik ini melibatkan kos yang tinggi, termasuk soal penyelenggaraan yang berterusan. Setakat ini, belum ada sebarang kelulusan berhubung perkara ini.”

“Ia juga perlu dirujuk kepada pihak Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim bagi dipertimbangkan peruntukan kerana kawasan laluan gajah ini adalah luas.”

Jamalul Nasir berkata demikian bagi mengulas laporan Buletin TV3 semalam, berhubung aduan lebih 30 pekebun dan penduduk di Kampung Pinang di Pedu yang terpaksa berhadapan ancaman binatang liar itu sejak lima bulan lalu.

Pekebun menunjukkan kemusnahan dalam kebun pisang yang diceroboh sekumpulan gajah liar di Kampung Pinang, Pedu di Padang Terap.

Sekurang-kurangnya tiga kumpulan gajah liar diantara lima hingga 11 ekor dipercayai sering turun ke kawasan kebun dan dusun di kampung itu bagi mendapatkan makanan.

Kesannya, pekebun kini terpaksa berputih mata selepas kesemua hasil tanaman seperti pokok pisang, kelapa sawit, getah dan buah-buahan rosak dimakan kumpulan gajah itu.

Loading...
Terkini