KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merancang untuk memasang lebih 20 kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak di sepanjang kawasan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini tahun ini.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata CCTV itu akan dipasang di stesen minyak terpilih yang dipercayai menjadi tumpuan penyeludup bahan api itu.
KPDN negeri, katanya sedang menyediakan draf projek itu dan apabila siap, ia akan diserahkan kepada ibu pejabat untuk kelulusan.
Beliau memaklumkan di Kelantan terdapat 48 stesen minyak dalam radius 20 kilometer (km) dari sempadan.
“Bagi tujuan pemantauan, kami bercadang memasang CCTV di stesen terpilih khususnya di Rantau Panjang, Pasir Mas dan Tumpat.
“Langkah ini bertujuan mengelak pembelian bahan api berulang yang disyaki untuk tujuan penyeludupan dan sebagai permulaan, kita akan memasang sekitar 20 stesen minyak dengan CCTV.
“Fasa pertama pemasangan akan bermula tahun ini,” katanya selepas melancarkan pertandingan reka bentuk fesyen pengguna peringkat negeri di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata pemasangan CCTV di stesen minyak di kawasan sempadan itu akan dilakukan secara berperingkat dengan turut dilengkapi sistem WiFi yang boleh diakses terus kepada pejabat KPDN tanpa penguat kuasa hadir ke premis terbabit.
“(pemasangan ini) masih di peringkat perbincangan kerana stesen minyak ada dua jenis iaitu milik peribadi dan syarikat… jadi kita perlukan sedikit lagi masa.
“Apa yang pasti pemasangan CCTV akan dibuat di separuh dulu (stesen minyak) iaitu sekitar 25 km dari sempadan negara dan bukan dipasang secara serentak semuanya,” katanya.
Azman berkata, sekurang-kurangnya dua unit CCTV diperlukan di setiap stesen minyak namun bergantung kepada pemilik premis untuk pemasangan di sudut yang difikirkan sesuai.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.