Tumpuan :
Nasional

Pemasangan 35,000 titik akses WiFi di semua IPTA siap menjelang Julai ini – Fahmi

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil (kanan) diiringi Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman meninjau pemasangan WiFi di Kolej Kediaman Ketujuh Za’aba (KK7) di UM hari ini

KUALA LUMPUR: Pemasangan hampir 35,000 ‘access point’ (titik akses) kemudahan WiFi dalam usaha menaik taraf capaian internet di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara dijangka siap menjelang Julai ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, menerusi pemasangan itu, pelajar akan mendapat kualiti capaian internet yang lebih baik, seiring dengan pengenalan teknologi 5G di Malaysia.

Ketika ini, kata beliau, pemasangan fasa pertama membabitkan 3,149 titik akses WiFi di tiga UA iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) yang diselesaikan pada Rabu lalu, membabitkan peruntukan RM11.6 juta.

“Kita akan meneliti beberapa perkara dalam fasa pertama ini sebelum kita teruskan dengan fasa kedua yang bakal melibatkan 14 UA termasuk UM, 24 Politeknik dan 43 Kolej Komuniti, dengan anggarannya adalah 31,173 titik akses.

“Kita jangka ia akan bermula pada Mac ini dan secara keseluruhan melibatkan semua lokasi ini, dijangka siap dalam tempoh empat bulan. Pemasangan fasa seterusnya ini menelan belanja RM175.8 juta,” katanya ditemui media selepas meninjau pemasangan WIFI di Kolej Kediaman Zaaba, Univerisiti Malaya (UM) di sini, hari ini.

Turut sama hadir, Naib Canselor UM, Professor Datuk Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman.

Pada majlis sama, Fahmi turut menyerahkan bantuan 50 laptop kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UM untuk disampaikan kepada pelajar yang memerlukan, terutama yang terkesan dengan banjir baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata pemasangan WIFI ini adalah inisiatif tambahan, selain yang disediakan pihak universiti dan ia dilaksana hasil daripada teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai masalah capaian internet di kampus, kolej dan univeristi.

Beliau berkata, di peringkat kementeriannya dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebelum ini, sudah mengusahakan Pakej Rahmah yang menyediakan langganan bulanan sebanyak 30 Gigabite (GB) atau 50 peratus lebih murah kepada mahasiswa.

“Tapi maklum balas yang kita terima daripada mereka adalah WIFI kampus itu jaringannya lebih meluas. Jadi, dengan siapnya jumlah hampir 35,000 titik akses WIFI ini menjelang Julai nanti, saya harap ini dapat menyelesaikan masalah internet di semua UA,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini