comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemangku Raja Pahang Mencemar Duli Rasmi Pameran Warisan Sudirman

KUALA LUMPUR: Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Pepatah Melayu itu tepat ditujukan kepada Penghibur Nombor 1 Asia, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad yang sudah tiga dekad jasadnya bersemadi, tahun ini.

Sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-65, Arkib Negara Malaysia (ANM) memilih mengadakan pameran khas bagi mengenang penyanyi legenda itu menerusi Pameran Warisan Sudir: Tribute Kepada Penghibur Nombor 1 Asia.

Bekerjasama dengan rakan stategik, Kamura Enterprise dan pusat beli-belah Fahrenheit88, ANM diberikan kepercayaan Sudirman Asset Management untuk mempamerkan khazanah berharga milik Juara Bintang RTM 1976, sekali gus mengenang 30 tahun pemergiannya.

Ketua Pengarah ANM, Jaafar Sidek Abdul Rahman berkata, arwah yang juga anak jati Pahang itu dipilih menjadi ikon Hari Kemerdekaan pusat beli-belah Fahrenheit88 atas faktor semangat patriotik dimiliki semasa hayatnya.

“Khazanah berharga dipamerkan adalah koleksi peribadi milik arwah yang berada dalam simpanan ANM.

“Ini termasuklah barangan milik peminat setia yang sudi meminjamkan koleksi yang mereka simpan bagi pameran.

“Bagi menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan, ANM turut mempamerkan sebahagian bahan berkaitan kemerdekaan negara dalam salah satu sudut pameran disediakan,” katanya kepada BH Online ketika majlis perasmian Pameran Warisan Sudir: Tribute Kepada Penghibur Nombor 1 Asia di pusat beli-belah Fahrenheit88, petang ini.

Hadir mencemar duli menyempurnakan majlis perasmian adalah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Beli-belah Fahrenheit88, Datuk Joyce Yap dan anak saudara Allahyarham Sudirman, Razman Azrai Zainudin atau Atai.

Jaafar berkata, arwah Sudirman sinonim dengan sambutan Hari Kemerdekaan, justeru pameran berkenaan bertepatan dengan tujuan menyemarakkan semangat patriotik.

“la terserlah melalui lagu-lagu patriotik dendangan arwah yang masih berkumandang di corong radio sehingga hari ini. Lagu Warisan, Tanggal 31 Ogos dan Tegakkan Bendera Kita tetap mekar dalam jiwa rakyat Malaysia.

“Bukan sahaja lagu, malah, penampilan arwah juga sentiasa mencuri tumpuan setiap kali mengadakan persembahan.

“Malah, arwah muncul sebagai anak seni pertama mengabadikan bendera Malaysia dalam rekaan persalinan ketika mengadakan persembahan pentas.

“Penampilan dan imej unik arwah memberi impak besar kepada peminat dan terus segar dalam ingatan rakyat Malaysia, biarpun sudah tiga dekad jasadnya bersemadi,” katanya.

Kejayaan Allahyarham Sudirman menjadi kebanggaan Malaysia, sekali gus anak Malaysia mampu mencipta nama di persada antarabangsa.

Namun, negara kehilangan permata yang tiada galang ganti apabila arwah disahkan meninggal dunia akibat penyakit radang paru-paru pada 22 Februari 1992.

Jaafar berkata, pameran itu diharap dapat mengimbau semula zaman kegemilangan Allahyarham Sudirman di kalangan peminat dan generasi muda agar dapat memupuk semangat patriotik dalam diri.

Pameran Warisan Sudir: Tribute Kepada Penghibur Nombor 1 Asia akan berlangsung di Galeri Sudirman di aras dua pusat beli-belah Fahrenheit88, Bukit Bintang bermula 11 Ogos lalu sehingga 30 September depan. Ia dibuka antara jam 11 pagi hingga 10 malam, setiap hari. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini