HULU SELANGOR: Seorang wanita maut selepas kereta Perodua Alza dipandunya dihempap pokok besar di Jalan Ulu Yam-Gombak, di sini, hari ini.
Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Zulfikar Jaffar berkata, pihaknya menerima panggilan jam 6.14 petang.
Beliau berkata, sepasukan lima anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke tempat kejadian.
“Tiba di lokasi, anggota bertugas mendapati sebatang pokok menghempap MPV jenis Perodua Alza.
“Kerja-kerja memotong pokok dilakukan untuk mengeluarkan mangsa dan berjaya dibawa keluar 7.10 malam, sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.