Oleh: Selwam Arjunan
GEORGE TOWN: Seorang pemandu van sekolah tersepit dalam kenderaannya dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Paya Terubong, di sini, pagi tadi.
Bagaimanapun, mangsa lelaki berusia 60 tahun itu dapat dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat dalam tempoh 15 minit.
Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan dalam perjalanan bagi mengambil pelajar untuk ke sekolah kira-kira jam 5.50 pagi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong, Zaini Zainuddin berkata, pihaknya tiba di lokasi pada jam 5.59 pagi sebaik menerima panggilan kecemasan.
Katanya, kemalangan membabitkan sebuah van sekolah dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Paya Terubong menghala ke Relau.
“Sebaik tiba di lokasi didapati pemandu van mengalami cedera dan kakinya tersepit di bahagian tempat duduk pemandu, manakala pemandu SUV tidak mengalami cedera.
“Pasukan penyelamat mengambil masa selama 15 minit bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurut Zaini, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Pulau Pinang dengan menaiki ambulans.
“Difahamkan, pemandu van berkenaan dalam perjalanan bagi mengambil pelajar sekolah sebelum terbabit kemalangan.
“Operasi tamat pada jam 7.02 pagi,” katanya lagi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.