Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Lebih 1,200 pemandu e-hailing di seluruh negara menuntut kerajaan supaya menguatkuasakan kawalan harga lantai bagi tambang perkhidmatan itu serta-merta.
Timbalan Pengerusi Gerakan Badan Bertindak Sahabat E-Hailing Malaysia, Zailani Zainuddin mendakwa, tambang minimum yang ditetapkan syarikat pengendali e-hailing (EHO) ketika ini adalah rendah sehingga menindas pemandu.
“Kita minta sangat Menteri Pengangkutan (Anthony Loke) kuat kuasa serta-merta (kawalan harga lantai). Alasan diberikan di Parlimen tak nak masuk campur (kawalan harga lantai), bukan tak boleh masuk campur.
“Penerangan diberikan EHO menggunakan harga dinamik, algoritma sebagai alasan, benda itu boleh ditetapkan kerana manusia yang buat,” katanya yang ditemui pemberita di pekarangan Kementerian Pengangkutan (MOT), di sini hari ini.
Pada 14 November tahun lalu, Loke dilaporkan berkata, MOT masih belum berhasrat untuk mengawal selia tambang e-hailing dan akan mengekalkan dasar sedia ada.
Jelasnya, kerajaan tidak melakukan kawalan harga atau menetapkan harga lantai kepada kadar yang diberikan kepada pemandu berikutan perkara itu perlu dilihat pada imbangan kadar upah pemandu secara keseluruhan.
Terdahulu, Zailani bersama 50 pemandu e-hailing mengadakan perhimpunan aman dan menyerahkan memorandum tuntutan kepada Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan Kementerian Pengangkutan, Roslan Mohamad.
Sebanyak tujuh tuntutan berkaitan tambang dan kadar caj yang dikemukakan antaranya tambang minimum e-hailing hendaklah tidak kurang dari RM8 selepas komisen EHO di Lembah Klang, Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Melaka, manakala RM7 selepas komisen EHO di Perlis, Kedah, Perak, Pahang, Terengganu, Negeri Sembilan, Sabah serta Sarawak.
Gerakan itu turut menuntut tambang bagi setiap kilometer bagi penghantaran melepasi jarak tambang minimum iaitu RM1.50 dan RM1.25 per kilometer mengikut negeri selepas komisen EHO, selain menuntut tambang dari atau ke pusat bandar Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebanyak RM90 untuk kereta sedan selepas komisen EHO.
Mengulas lanjut, Zailani berkata, kumpulan tersebut memberi masa selama sebulan sehingga 21 Januari depan kepada Loke untuk memberi jawapan balas kepada tuntutan mereka.
“Kerajaan kata kami duta dan mencantikkan negara, tapi macam mana kita nak mengharapkan muka pemandu senyum seperti duta kalau begitu tambang (rendah).
“Kita tuntut kerajaan dan menteri jangan biarkan EHO menghambakan rakyat Malaysia,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.