comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemandu treler rempuh rumah didapati positif dadah

KUANTAN: Pemandu treler yang merempuh sebuah rumah hingga menyebabkan dua beradik maut di Kilometer 5 Jalan Pekan-Rompin dekat Kampung Ketapang Hilir, Pekan di sini hari ini, didapati positif dadah.

Ketua Polis Daerah Pekan, Supt. Mohd Zaidi Mat Zin dalam satu kenyataan memaklumkan ujian saringan awal yang dijalankan di Hospital Pekan mendapati pemandu treler itu positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

“Pemandu treler akan ditahan untuk tujuan reman esok sebaik sahaja rawatan selesai,” katanya.

Mangsa yang maut ialah Nurnazatul Fasiha Nasruddin, 33 meninggal dunia di tempat kejadian manakala adiknya, Mohd Waldon Faris Nasruddin, 25 meninggal dunia pada jam 1.30 petang.

Tiga lagi mangsa iaitu ibu bapa dua mangsa berusia 64 dan 54 tahun serta seorang rakan lelaki Mohd Waldon Faris berusia 19 tahun cedera dalam kemalangan yang berlaku kira-kira jam 4.15 pagi.

Katanya, siasatan awal mendapati treler yang dipandu lelaki berusia 40 tahun berseorangan dari arah Johor Bahru menghala ke Kuantan membawa muatan siling kapur.

“Apabila tiba di tempat kejadian, kenderaan yang dipandu lelaki itu ketika melalui selekoh ke kiri hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan kemudian merempuh sebuah rumah yang berada di sebelah kanan jalan.

“Akibat kemalangan itu, Nurnazatul Fasiha disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala empat orang yang berada di dalam rumah mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Pekan untuk menerima rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, pada jam 1.30 tengah hari ini, Mohd Waldon Faris disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pekan,” menurut kenyataan hari ini.

Kes disiasat dan diklasifikasikan mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini