Tumpuan :
Nasional

Pemandu treler maut dalam nahas 4 kenderaan

FOTO: JBPM

ALOR SETAR: Seorang pemandu sebuah treler maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 53.3 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar menerima panggilan berhubung kemalangan itu sekitar jam 7.25 pagi.

Beliau berkata, hasil siasatan awal di lokasi mendapati empat kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu adalah sebuah treler, sebuah bas, sebuah van dan sebuah lori.

“Kemalangan itu dipercayai berlaku sekitar jam 6.30 pagi dan keempat-empat kenderaan terbabit difahamkan sedang menghala ke arah Alor Setar.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila treler jenis Volvo dipandu lelaki berusia 31 tahun melanggar bahagian belakang sebuah bas yang sedang bergerak, menyebabkan bas mengelongsor ke hadapan lalu terlanggar sebuah van.

“Van itu kemudian melanggar dari arah belakang sebuah lori yang berada di hadapan dan akibat perlanggaran itu, pemandu treler terbabit mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum disahkan maut di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, pemandu van pula mengalami luka ringan di beberapa bahagian badan, manakala pemandu bas dan pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, mayat mangsa yang maut dalam kemalangan itu dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk tujuan bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Sehubungan itu, pihak polis memohon kerjasama orang ramai terutamanya saksi kejadian untuk tampil memberi keterangan di Balai Polis Trafik Kota Setar atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Mohd Lukmanul Hakim Mohd Fauzi di talian 04-7321222 atau 013-9964614 bagi membantu siasatan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini