Tumpuan :
Nasional

Pemandu tersepit 20 minit, kereta terbabas, tersangkut paip air utama

Anggota bomba mengeluarkan seorang lelaki yang parah di kepala selepas tersepit dalam keretanya yang terbabit kemalangan di Jalan Sungai Sembilang, malam tadi. – FOTO: NSTP/Ihsan Bomba

KUALA SELANGOR: Seorang pemandu tersepit kira-kira 20 minit selepas keretanya terbabas dan tersangkut pada paip air utama di Jalan Sungai Sembilang, di sini, malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11.59 malam.

Beliau berkata, sebuah jentera dengan kekuatan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor dikejarkan ke tempat kejadian.

“Menurut laporan awal, kemalangan membabitkan sebuah kereta Proton Saga dipandu mangsa berusia 22 tahun yang dalam perjalanan dari Klang ke Kuala Selangor.

“Kenderaan itu dipercayai terbabas arah bertentangan dan tersangkut pada paip utama selepas melanggar pembahagi jalan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Anggota bertugas turut mendapati lelaki itu tersepit di tempat duduk pemandu.

“Mangsa parah pada kepala dan mengalami kehilangan banyak darah.

“Anggota bomba mengambil masa 10 minit mengeluarkan mangsa dan diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Loading...
Terkini