Tumpuan :
Nasional

Pemandu teksi mati ditikam penumpang semasa memandu

KUALA NERUS: Pemandu teksi yang dibunuh dalam kejadian berdekatan Klinik Kesihatan Seberang Takir, Kuala Nerus, malam tadi dipercayai ditikam suspek ketika mangsa sedang memandu.

Mangsa, 51, ditikam di bahagian belakang oleh suspek, 29, yang merupakan penumpang teksi itu.

Polis akan memohon perintah reman ke atas suspek yang kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kerana turut cedera dalam pergelutan berkenaan.

Siasatan awal polis mendapati, suspek menikam mangsa dan kemudian meletakkan lelaki itu di tempat duduk belakang teksi.

Dia kemudian memandu teksi terbabit dari arah bertentangan sehingga merempuh beberapa  kenderaan sebelum dikejar dan ditahan orang awam di Jalan Teluk Ketapang, Seberang Takir, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Abdul Rahim Md Din memberitahu  pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira jam 10.56 malam.

“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan tersebut pihak polis telah menjumpai sebilah pisau diatas pelapik tempat kaki bahagian pemandu dan suspek berusia 29 tahun telah ditahan”,katanya.

Siasatan kes mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mayat mangsa dibawa ke unit forensik HSNZ Kuala Terengganu.

Loading...
Terkini