TANJUNG MALIM: Pemandu kereta Toyota Altis yang terbabit dalam kemalangan maut tiga Muslimat PAS di Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat Behrang, di sini semalam, akan dibebaskan hari ini.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, pemandu lelaki berusia 30 tahun itu akan dibebaskan kira-kira jam 2 petang ini.
Media melaporkan, tiga anggota Dewan Muslimat PAS yang dalam perjalanan pulang daripada menghadiri muktamar parti itu di Shah Alam, maut dirempuh kereta ketika berhenti memberikan bantuan kepada mangsa kemalangan lain di Kilometer 390 Lebuhraya PLUS dekat Behrang, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa, Ketua Ameerah PAS Sungai Petani, Fatihah Nabila Bukri, 23 dan Ketua Dewan Muslimat PAS Sungai Petani, Taibah Sulaiman, 61, disahkan maut di tempat kejadian.
Seorang lagi mangsa, Penolong Setiausaha 1 Dewan Muslimat PAS Sungai Petani, Nurul Najihah Amzi, 27, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Slim River.