PETALING JAYA: Pemandu kereta rentung apabila kenderaan dipandunya terbakar selepas melanggar tiang MRT dalam kemalangan di Lebuhraya Persekutuan menghala Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada jam 7.24 pagi membabitkan sebuah Honda Accord.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan pada jam 6.20 pagi apabila kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas melanggar tiang MRT lalu terbakar.
“Mangsa iaitu pemandu kereta berkenaan terbakar seluruh badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi.
“Bagaimanapun maklumat mangsa masih belum dapat dikenali pasti sehingga kini dan mayatnya dibawa ke Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai rakaman papan pemuka membabitkan kejadian itu diminta tampil untuk membantu siasatan.
“Mereka yang mempunyai maklumat itu diminta tampil ke Balai Polis berhampiran atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Hisyam Azih di talian 017-7378704 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.