Tumpuan :
Nasional

Pemandu rentung, kereta bertembung MPV

Pemandu Toyota Vios rentung dalam nahas dua kenderaan di KM49.5 Jalan Batu Pahat-Mersing, di Kluang Johor kira-kira 1 pagi tadi. Foto Ihsan PDRM/ tular

KLUANG: Seorang pemandu rentung dalam nahas membabitkan dua kenderaan di KM49.5, Jalan Batu Pahat – Mersing, di sini kira-kira 1 pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Nik Mohd Azmi Husin berkata, pemandu terbabit yang identitinya belum dikenalpasti dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan bertembung sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Hyundai Starex.

Katanya, pemandu MPV berusia 55 tahun bersama tiga penumpang warga Singapura mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Zon Kuning Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, di sini.

“Hasil siasatan awal mendapati MPV berkenaan dari Batu Pahat menghala ke pusat bandar Kluang manakala Toyota Vios dari arah bertentangan.

“Apabila sampai di tempat kejadian, Toyota Vios dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung MPV berkenaan.

“Kemalangan itu menyebabkan Toyota Vios terbakar sehingga melanggar pokok di bahu jalan dan pemandunya turut rentung.

“Pemandu MPV mengalami luka di kepala dan sakit dada. Tiga penumpang di belakang turut cedera manakala seorang lagi penumpang di hadapan tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dalam pada itu, sebuah jentera FRT dan EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang dengan kekuatan 10 anggota bergegas ke tempat kejadian.

Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Fauzi Mohd Nor berkata, kebakaran telah memusnahkan lebih kurang 80 peratus keseluruhan Toyota Vios dan terdapat seorang mangsa tersepit di ruangan pemandu kenderaan yang terbakar.

Operasi ditamatkan pada 2.28 pagi.

Loading...
Terkini