PADAWAN: Seorang wanita maut, manakala teman lelakinya cedera akibat tercampak selepas motosikal dinaiki mereka dilanggar lari sebuah pikap di Jambatan Batu Kawa, di sini pada tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata kejadian berlaku jam 12.43 tengah malam, ketika mangsa dalam perjalanan balik ke Kampung Sejijak Matang.
“Ketika berada di lorong sebelah kiri atas Jambatan Batu Kawa, motosikal yang dinaiki pasangan itu dilanggar dari arah belakang oleh sebuah pikap yang nombor pendaftarannya belum dikenal pasti menyebabkan kedua-duanya tercampak di atas jalan raya.
“Selepas itu, pemandu pikap terbabit melarikan diri dari tempat kejadian bersama kenderaannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Abang Zainal berkata, mangsa wanita berusia 23 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Umum Sarawak (HUS).
Manakala, teman lelaki mangsa yang berusia 22 tahun cedera di muka dan tangan telah dibawa ke HUS.
Abang Zainal berkata, pihaknya sedang mengesan pemandu pikap berkenaan.
“Kami akan menyemak kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian bagi mengesan identiti kenderaan terbabit dan saksi kejadian juga diminta tampil bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.