JOHOR BAHRU: Seorang lelaki maut selepas Perodua Axia dipandunya hilang kawalan dan melanggar tembok konkrit di Plaza Tol Kempas arah selatan, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, mangsa berusia 23 tahun memandu kereta dari arah utara ke selatan sebelum hilang kawalan pada 6.15 pagi.
Menurutnya, kereta itu terbabas melanggar tembok konkrit pembahagi antara lorong plaza tol.
“Akibat kemalangan itu, pemandu mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kempas Wan Nor Affendi berkata, seramai lapan anggota diarahkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan.
Menurutnya, sebaik tiba Pasukan Keluaran Operasi (PKO) mendapati kereta Perodua Axia melanggar tembok konkrit di plaza tol.
“Anggota mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam kereta yang disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan. Mayat kemudian diserahkan pada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.