Oleh: Kumaran Rajamoney
MANJUNG: Dua lelaki maut dalam satu kemalangan membabitkan dua buah lori di Kilometer 202, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) hala Selatan, di sini awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri Perak dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian kemalangan itu pada jam 3.33 pagi.
“Sebaik tiba di lokasi, pihak kami mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori lima tan, membawa barangan pejabat dengan sebuah treler. Lori itu dipercayai telah melanggar bahagian belakang treler itu.”
“Kemalangan itu mengakibatkan bahagian hadapan lori itu remuk, sekaligus mengakibatkan kedua-dua pemandu dan penumpang tersepit dan disahkan maut di tempat kejadian,” katanya.
Mangsa katanya, dikeluarkan dengan menggunakan peralatan ‘rescue tool’ khas.
Mayat mangsa Razali Sahad, 48 dan Muhammad Alizzat Narayi, 28 dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat.
Operasi melibatkan enam anggota itu tamat sepenuhnya jam 6.05 pagi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.