Tumpuan :
Nasional

Pemandu parah, lori terbabas masuk gaung sedalam 30 meter

Foto Ihsan JBPM Sabah

Oleh: Safwan Sawi

LAHAD DATU: Seorang lelaki cedera parah selepas lori yang dipandunya terbabas ke dalam gaung sedalam 30 meter, di kawasan Lembah Danum, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa berusia 51 tahun cedera di bahagian badan dan kaki akibat tersepit di lori terbabit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.24 pagi.

Beliau berkata seramai 10 anggota dan pegawai bersama lima jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati sebuah lori membawa muatan baja dari Tawau ke Lahad Datu telah terbabas sendiri masuk gaung sedalam 30 meter.

“Pasukan bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas, namun masih gagal,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Ujarnya, mangsa dilaporkan dalam keadaan sedar dan dipantau oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bantuan kren dari Tawau kini dalam perjalanan ke lokasi kemalangan untuk membantu mengangkat lori terbabit.

Maklumat lanjut mengenai operasi akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini