comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemandu maut, treler bawa besi buruk terbabas

Keadaan treler yang membawa muatan besi buruk terbabas di KM 70 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini, hari ini. FOTO: Ihsan Bomba

GUA MUSANG: Seorang pemandu treler membawa muatan besi buruk maut tersepit apabila kenderaan itu terbabas di Kilometer 70 Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, Mohd Faiz Tarmizi, 27, yang berasal dari Tanah merah maut di tempat kejadian manakala kelindannya terselamat dan kini menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata treler yang dipandu mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Gua Musang ke Kuala Krai.

“Sampai di lokasi kemalangan, semasa melalui selekoh kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum terbalik ke sebelah kanan jalan,” katanya.

Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Nor Azizi Che Noh berkata pihaknya menerima panggilan pada 7.49 pagi dan lapan anggota dan dua jentera bergegas ke lokasi kejadian.

“Anggota tiba di lokasi pada jam 8.47 pagi namun terpaksa menunggu kren tiba pada 10.20 pagi untuk mengalihkan treler yang menghempap mangsa.

“Operasi agak sukar dan memerlukan bantuan kren dan jentolak untuk mengangkat kepala treler bagi memberi akses kerja pasukan bomba memotong dan mengumpil cabin untuk membawa keluar mangsa.

“Usaha mengeluarkan mangsa berjaya diselesaikan pada jam 12 tengah hari,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini