Oleh: Zahir Senapiah
JOHOR BAHRU: Seorang pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) maut selepas kenderaanya yang dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam longkang sedalam dua meter di Lebuhraya Pesisir Pantai dekat sini, awal pagi tadi.
Kemalangan dilaporkan berlaku kira-kira jam 5.40 pagi ketika kenderaan yang dipandu warga tempatan berusia 25 tahun hilang kawalan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, siasatan awal mendapati kenderaan berkenaan terbabas dan melanggar besi penghadang di bahu jalan sebelum terjunam ke dalam longkang.
“Mangsa cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian” katanya dalam satu kenyataan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu 14 anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Azmi Johar berkata, anggota telah turun ke longkang dengan bantuan tangga jentera dan menemui mangsa pada jarak kira-kira 15 meter daripada kenderaannya.
“Mangsa disahkan meninggal dunia dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.