DUNGUN: Seorang lelaki maut selepas lori yang dipandunya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 372, Lebuh Raya Pantai Timur2 (LPT2), dekat Bukit Besi, pagi tadi.
Dalam kemalangan kira-kira jam 8.20 pagi itu, Ibrahim Md Zali, 52, yang berasal Mentakab Pahang, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, sebelum kejadian, lori yang dipandu mangsa dengan muatan barangan kargo dalam perjalanan dari Kuantan menghala ke Kuala Terengganu.
Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, lori yang dipandu mangsa dikatakan secara tiba-tiba masuk ke lorong kanan lebuh raya.
“Dalam masa yang sama, sebuah lori yang membawa muatan minyak diesel yang turut berada di lorong yang sama tidak sempat membrek lalu melanggar bahagian belakang lori yang dipandu mangsa.
“Perlanggaran itu menyebabkan lori yang dipandu mangsa hilang kawalan sebelum terbalik dan merempuh pembahagi lebuh raya,” katanya.
Baharuddin berkata, lori membawa muatan diesel itu pula turut terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung di situ.
“Bagaimanapun, pemandu lori minyak terbabit yang berusia 24 tahun cedera parah di bahagian pinggang dan cedera di kaki dihantar ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut,” katanya
Baharuddin berkata, mayat mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu berjaya dikeluarkan sepasukan anggota Bomba dari Balai Bomba Al Muktaffi Billah Shah (AMBS).
“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.