BELURAN: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori 10 tan di Jalan Sapi Nangoh, Kampung Rumidi, di sini, hari ini.
Dalam kejadian terbabit mangsa berusia 37 tahun yang memandu kereta jenis Perodua Axia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.55 petang.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran digerakkan ke lokasi kejadian.
“Laporan awal kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Axia bertembung dengan sebuah lori 10 tan.
“Terdapat seorang mangsa tersepit dalam Perodua Axia dikeluarkan oleh pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.