comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemandu maut, bas terbabas langgar pokok

Seorang pemandu bas maut selepas bas yang dipandunya terbabas dan melanggar sebatang pokok dalam kemalangan di Mutiara Bukit Raja 2, dekat sini, awal pagi tadi. Foto: Ihsan JBPM Selangor

KLANG: Seorang pemandu maut selepas bas dipandunya terbabas dan melanggar pokok berhampiran sebuah hospital swasta di Mutiara Bukit Raja 2, dekat sini, awal pagi tadi.

Mangsa, Mohd Zaini Mohamad Sah, 49, meninggal dunia di tempat kejadian selepas tercampak ke parit berdekatan.

Kemalangan itu turut membabitkan pembantu pemandu bas dan empat penumpang yang mana dua daripadanya mengalami kecederaan ringan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.24 pagi.

Susulan itu, katanya, sepasukan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang diarahkan ke lokasi kejadian.

“Difahamkan bas itu dari stesen Kuala Lumpur Sentral dan dalam perjalanan ke Klang Sentral,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang maut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Dua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah manakala dua lagi yang tidak cedera dibawa ke terminal bas Klang Sentral oleh wakil syarikat bas dan seorang lagi mangsa dibawa pulang oleh waris,” katanya.

Loading...
Terkini