NIBONG TEBAL: Seorang maut manakala dua cedera ringan selepas kereta yang dinaiki terbabas dan terjatuh ke dalam longkang di Taman Tangling Indah,Simpang Ampat, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kemalangan kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa tiga lelaki warga tempatan terperangkap dalam kereta jenis Honda City dinaiki sebelum dua daripada mereka berjaya keluar.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Bakap ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan jam 4.06 pagi berhubung insiden terbabit.
“Kemalangan membabitkan sebuah kenderaan yang terbabas dan terjatuh ke dalam longkang. Terdapat tiga mangsa iaitu seorang di tempat pemandu manakala dua lagi di tempat penumpang bahagian depan dan belakang.
“Dua mangsa (penumpang) berjaya keluar menyelamatkan diri manakala seorang lagi (pemandu) tersepit dalam kenderaan itu,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.Katanya, mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan sebelum disahkan meninggal dunia.
“Mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan dua lagi mangsa yang mengalami kecederaan ringan dibawa ke hospital berhampiran untuk rawatan,” katanya.Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.47 pagi.