JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga tempatan akan didakwa di Mahkamah Johor Bahru esok mengikut Seksyen 323 kanun keseksaan, kerana menampar seorang kakitangan PUSPAKOM Johor Bahru, pada 16 Januari lalu.
Ketua Polis Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat berkata, pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan dan menghantar kepada pejabat Pendakwa Raya negeri pada 20 Januari lalu dan telah mendapat arahan bagi mendakwa suspek.
“Di bawah Seksyen 323 kanun keseksaan suspek yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara maksima satu tahun atau denda maksima RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada 16 Januari lalu, kira-kira jam 3 petang pihak IPD JBS telah menerima satu video tular di media sosial yang memaparkan kejadian seorang kakitangan Puspakom Johor Bahru telah ditampar oleh seorang lelaki yang merupakan pelanggan.
Video yang tular memaparkan mangsa seorang lelaki warga tempatan berumur 38 tahun ditampar oleh suspek seorang lelaki warga tempatan berumur 59 tahun yang tidak berpuas hati lorinya gagal dalam pemeriksaan Puspakom yang dijalankan oleh mangsa.
Susulan itu satu kertas siasatan berhubung kejadian itu telah dibuka.
Orang ramai dinasihatkan untuk tidak terus menyebarkan video berkenaan di media sosial bagi mengelakkan salah faham.
ACP Raub berkata, sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian berkenaan diminta menghubungi talian hotline IPD JBS 07-2182323.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.