BUKIT MERTAJAM: Pemandu lori direman tiga hari bagi membantu siasatan kemalangan yang mengorbankan penunggang motosikal di Jalan Kulim, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Helmi Aris, berkata, dalam kemalangan kira-kira 5 petang itu, lelaki tempatan berusia 40-an meninggal dunia selepas tidak sempat mengelak kabel telekomunikasi yang terjatuh atas jalan.
“Hasil siasatan awal mendapati wayar itu terjatuh apabila ia tersangkut pada palang kren di belakang lori yang dipandu suspek berusia lingkungan 20-an.
“Pemandu lori ketika itu memandu dari arah Jalan Kulim ke Bukit Mertajam apabila palang kren di belakang kenderaannya tersangkut pada kabel telekomunikasi yang berada dalam keadaan melintang dan mengakibatkan ia (kabel) terjatuh.
“Pada masa sama datang mangsa yang menunggang motosikal dari arah bertentangan, tidak sempat mengelak, lalu mengakibatkan kabel terbabit terkena pada lehernya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, mangsa terbabas dan jatuh di atas jalan sebelum meninggal dunia.
Katanya, mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk dibedah siasat, manakala pemandu lori sudah ditahan serta Mahkamah Majistret membenarkan reman tiga hari hingga Jumaat.
“Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Mohd Ikhmal Mohd Shokri di talian 016-2500386 atau 04-5382222.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.