Tumpuan :
Nasional

Pemandu lori rentung nahas di Jalan Bintulu-Miri

Seorang lelaki rentung selepas lori dipandunya merempuh belakang lori yang sarat dengan muatan kayu balak sebelum terbakar dalam kemalangan di Batu 27 Jalan Bintulu-Miri malam tadi. – Foto ihsan JBPM

BINTULU: Seorang lelaki rentung selepas lori dipandunya yang sarat dengan muatan batu merempuh belakang lori yang sarat dengan muatan kayu balak sebelum terbakar dalam kemalangan di Batu 27 Jalan Bintulu-Miri malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak dalam kenyataan hari ini berkata, mangsa yang belum diketahui identiti ditemui rentung di tempat pemandu selepas dua jam anggota bomba berjaya mengawal kebakaran.

“Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung insiden pada jam 10.01 malam,” katanya.

Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati berlakunya kemalangan yang membabitkan dua kenderaan yang mana lori dipandu mangsa merempuh bahagian belakang sebuah lori yang sarat dengan muatan kayu balak.

Pasukan bomba kemudiannya bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan saluran bantu mula.

“Setelah hampir dua jam memadam kebakaran, api berjaya dikawal dan dipadam sepenuhnya pada jam 12.10 tengah malam,” katanya.

Bagaimanapun, katanya pemandu lori balak gagal dikesan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini