SEREMBAN: Seorang pemandu lori yang memandu secara berbahaya dengan memotong barisan di garisan berkembar di Jalan Seremban-Port Dickson berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mambau di sini, menyerah diri kepada polis petang semalam.
Lelaki berusia 65 tahun itu tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Seremban pada jam 6.20 petang, selepas dua jam pengguna jalan raya memuat naik video tindakannya itu di media sosial.
Dalam kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 12.15 tengah hari itu, beberapa pengguna jalan raya lain terpaksa ke bahu jalan dan berhenti bagi memberi laluan kepada lori berkenaan.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, berkata pada jam 4.20 petang semalam, polis mengesan satu video tular berdurasi 38 saat menunjukkan sebuah lori berwarna merah dipandu dalam keadaan berbahaya.
“Kejadian dipercayai berlaku jam 12.16 tengah hari dan usaha mengesan suspek dilakukan.
“Seorang lelaki berusia 65 tahun hadir sendiri ke balai polis dan mengaku sebagai pemandu lori berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, lelaki itu ditahan bersama lorinya bagi tujuan siasatan lanjut, manakala ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadapnya didapati negatif.
“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.