Tumpuan :
Nasional

Pemandu lori maut tertimbus dalam gaung 50 meter

FOTO: JBPM Sabah

Oleh: Safwan Sawi

RANAU: Seorang pemandu lori yang membawa muatan tiang elektrik maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kampung Nabutan, di sini, semalam.

Mayat mangsa, Mohd Raziman Sahrin, 30, dikeluarkan pada jam 2.50 pagi tadi setelah operasi menyelamat yang berlangsung hampir 19 jam.

Kemalangan berlaku apabila treler yang dipandu oleh mangsa terbabas dan terjunam ke dalam gaung sedalam 50 meter.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 8.41 pagi.

Jurucakap PGO JBPM Sabah berkata, mangsa tertimbus di bawah treler berkenaan.

FOTO: JBPM Sabah

“Usaha pertama pasukan bomba untuk mengeluarkan mangsa dengan mengorek tanah menggunakan peralatan khas gagal.

“Kren dari Kota Kinabalu yang tiba sekitar jam 6 petang juga tidak berjaya mengangkat treler tersebut selepas tiga kali percubaan.

“Pada jam 7.50 malam, pasukan bomba mengubah taktik dengan mengalihkan antara 60 hingga 70 batang tiang elektrik yang terjatuh. Akhirnya, dengan menggunakan kaedah mengorek timbunan tanah, mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 2.50 pagi tadi. Malangnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” menurutnya.

Operasi membabitkan 13 anggota bomba termasuk pegawai dengan kerjasama polis, syarikat kren serta keluarga mangsa itu tamat pada jam 3.12 pagi.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini