comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemandu lori maut terkena renjatan elektrik

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Seorang pemandu lori maut selepas terkena renjatan elektrik di Kampung Timbok Jalan Bongaliou Longkou Lama Timbok bersebelahan sebuah kilang di sini pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner (ACP) Mohd Zaidi Abdullah berkata kejadian jam 4.30 petang itu membabitkan seorang mangsa lelaki berumur 32 tahun.

“Hasil siasatan mendapati kejadian disedari berlaku apabila seorang peniaga berumur 63 tahun ke kawasan tempat kerjanya sebelum mendapati pekerjanya meninggal dunia dipercayai akibat terkena renjatan elektrik.

“Kejadian kemudian dilaporkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Bertindak dengan kejadian, pihak polis bergegas ke lokasi bagi menjalankan siasatan.

“Hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mangsa adalah pemandu lori yang sedang memunggah barangan paip PVC 10 inci yang tertanam dalam tanah menggunakan kren lori.

Kren lori yang dikendalikan oleh mangsa bagaimanapun tersangkut pada kabel utama elektrik yang dipercayai menyebabkan berlakunya renjatan arus elektrik terhadap kren tersebut.

Mangsa maut di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya lagi, pihak Sabah Elektricity Sdn Bhd (SESB) juga hadir di lokasi membuat pemeriksaan di sekitar tempat kejadian.

Hasil siasatan awal di tempat kejadian juga mendapati tiada unsur perbuatan khianat atau jenayah dan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Kakitangan SESB juga mengambil langkah-langkah keselamatan dengan memotong kabel terbabit dan memastikan kawasan tersebut selamat kepada penduduk setempat.

Loading...
Terkini