comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemandu lori maut, penumpang cedera selepas terbabas akibat dilanggar dari belakang

Oleh: Zahir Senapiah

TANGKAK: Seorang maut apabila lori yang dipandunya terbabas selepas dilanggar sebuah kereta Proton Persona dari belakang.

Penumpang lori itu tercedera.

Polis menerima panggilan berhubung kejadian itu pada kira-kira jam 9.13 pagi tadi.

Kemalangan berlaku di kilometer 150 Lebuh Raya Utara Selatan, arah selatan berdekatan Bukit Gambir.

Pemandu lori dikenali sebagai Yuzairi Mansor, 43 tahun dari Pedas, Negeri Sembilan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Yuzairi yang tersepit di dalam lorinya itu terpaksa dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat menggunakan pemotong hidraulik.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tangkak, DSP Idris Abdul Rahman yang dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, pemandu kereta Proton Persona yang juga dari Negeri Sembilan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Manakala penumpang lori, dipercayai isteri mangsa cedera ringan dan dirawat di hospital Muar.

Ujarnya, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada Proton Persona cuba mengubah haluan ke lorong kanan namun melanggar bahagian belakang lori di lorong kiri kerana jarak yang terlalu dekat.

Akibatnya, pemandu lori hilang kawalan lalu terbabas ke kiri lebuh raya.

Mangsa cedera parah di kepala.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Loading...
Terkini