Tumpuan :
Nasional

Pemandu lori maut, 2 anak parah dalam kemalangan 3 lori

Pemandu lori maut manakala dua anaknya parah dalam kemalangan membabitkan tiga lori dekat Kilometer 203.3 (U) Lebuhraya Utara- Selatan (Plus), dekat sini, awal pagi tadi. – Foto ihsan PDRM

REMBAU: Pemandu lori maut manakala dua anaknya parah dalam kemalangan membabitkan tiga lori dekat Kilometer 203.3 (U), Lebuhraya Utara- Selatan (Plus), dekat sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed berkata, kejadian kira-kira jam 4.25 pagi itu dipercayai berlaku akibat kesesakan susulan kemalangan maut sebelum itu lebih kurang 100 meter dari lokasi.

“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga lori dari arah Ayer keroh, Melaka menghala ke Senawang, Seremban.

“Apabila sampai di tempat kejadian lori jenis Hino dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun bergerak perlahan di lorong kiri akibat kesesakan lalu lintas di hadapan.

“Tiba- tiba lori jenis Daihatsu dipandu Zaidi Md Hashim, 51, yang datang dari arah belakang dikatakan melanggar bahagian belakang lori Hino,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abd Kadar berkata, selang beberapa minit, sebuah lori jenis Nissan dipandu lelaki berusia 39 tahun yang berada di belakang lori Daihatsu tidak sempat mengelak.

“Lori Nissan terus melanggar bahagian belakang lori Daihatsu dan menyebabkannya tersepit antara lori Hino dan Nissan,” katanya.

Jelasnya, akibat kemalangan itu, pemandu lori Daihatsu tersepit dan disahkan maut di lokasi kemalangan.

“Manakala dua anaknya berusia 14 dan 16 tahun yang turut berada di dalam lori sebagai penumpang mengalami kecederaan parah di kepala dan dihantar ke Hospital Rembau untuk rawatan lanjut,” katanya.

Ujarnya, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta hubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Fadzilah Ahmad di talian 0162895801,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini