TAPAH: Nahas membabitkan sebuah lori dengan muatan makanan sejuk beku dan treler di Kilometer (KM) 314.3 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, awal pagi tadi menyebabkan seorang maut.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira jam 6.06 pagi.
Susulan itu sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah dikejarkan ke tempat kejadian.
“Kemalangan membabitkan sebuah lori muatan makanan sejuk beku yang dipercayai telah melanggar bahagian belakang sebuah treler.
“Terdapat seorang lelaki yang juga pemandu lori telah tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan.
Sabarodzi berkata, pihak bomba mengaplikasikan Konsep Saver bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan Rescue Tool.
Katanya, mangsa diserahkan kepada pihak KKM dan polis untuk tindakan selanjutnya.