LIPIS: Seorang maut manakala seorang lagi cedera apabila lori dinaiki hilang kawalan dan melanggar pokok kelapa sawit di Kilometer 8, Jalan Sungai Koyan-Raub dekat sini, jam 9 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Lipis Superintendan Azli Mohd Noor berkata, mangsa yang juga pemandu lori, Tharvin Selvam, beralamat terakhir di Kampung Baru Ringlet, Cameron Highlands disahkan maut ketika dalam perjalanan ke Hospital Lipis.
Manakala kelindan, Ravichanran Ravi, 23, juga beralamat sama, patah kaki kiri.
Katanya, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Kluang, Johor ke Cameron Highlands.
“Tiba di lokasi, lori terbabit hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan kiri dan melanggar pokok kelapa sawit.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.