Tumpuan :
Kemalangan

Pemandu lori langgar penunggang motosikal diburu polis

FOTO: Ihsan polis

NILAI: Polis sedang mengesan pemandu lori yang disyaki terbabit dalam kejadian langgar lari yang menyebabkan seorang penunggang motosikal maut Jalan Pajam-Nilai-Salak berdekatan Taman Semarak, pagi Khamis lalu.

Kemalangan kira-kira jam 6 pagi itu, dipercayai berlaku apabila lori yang membawa muatan pasir melanggar bahagian belakang motosikal sebelum dikatakan beredar dari lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, penunggang motosikal disahkan maut di lokasi kejadian dipercayai akibat parah di beberapa anggota badan.

“Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila lori yang sedang bergerak di lorong kanan dikatakan melanggar motosikal dari arah belakang yang ditunggang seorang lelaki.

“Akibat kemalangan mangsa penunggang motosikal berumur 47 tahun disahkan maut di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemandu lori dipercayai seorang lelaki yang dikatakan berasal dari Sabah memandu lori jenis Nissan Diesel dipercayai muatan pasir atau tanah.

“Setakat tengah hari ini, pemandu lori masih belum tampil membuat laporan polis. Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai, Inspektor Rosliza Mohd Ludin di talian 010-4554359,” katanya.

Loading...
Terkini