comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemandu lori jumpa bayi atas buaian

Foto tular

SABAK BERNAM: Lagi kes penemuan bayi, kali ini seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan, ditinggalkan atas buaian besi dekat sebuah rumah di Lorong Asrama Anak Yatim, Batu 36 di sini, hari ini.

Seorang pemandu lori berusia 29 tahun menemui bayi tersebut jam 8.55 pagi.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias, berkata pengadu tinggal di rumah itu sejak berusia 18 tahun bersama seorang rakannya yang bekerja sebagai tukang kebun di asrama anak yatim.

“Pemandu lori itu terlihat sesuatu seperti bungkusan di atas buaian besi berhadapan rumahnya.

“Apabila didekati, beliau mendapati seorang bayi masih bernyawa dengan dibaluti kain batik,” katanya.

Agus Salim berkata, bayi itu tidak dipakaikan sebarang pakaian.

Katanya, lelaki itu menghubungi pihak hospital untuk mendapatkan bantuan dan sebuah ambulans tiba beberapa minit kemudian bagi membuat pemeriksaan awal.

“Pembantu perubatan Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) mengesahkan bayi berkenaan berkeadaan sihat dan tidak mengalami kecederaan fizikal,” katanya.

Beliau berkata, bayi berkenaan bersih dan tiada kesan darah namun tiada dokumen atau barangan lain ditinggalkan.

Katanya, bayi terbabit dibawa ke HTAJ untuk rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini