Tumpuan :
Nasional

Pemandu lori balak maut, anak cedera dalam kemalangan dengan lori pasir

Kemalangan membabitkan lori balak dan lori pasir di Kilometer 37 Jalan Gemas-Tampin.- FOTO: PDRM

TAMPIN: Seorang pemandu lori balak maut, manakala kelindan yang juga anaknya cedera apabila kenderaan dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah lori pasir di Kilometer 37, Jalan Tampin-Gemas, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, dalam kejadian jam 6 pagi, mangsa berusia 62 tahun disahkan meninggal di tempat kejadian.

Katanya, siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika lori pasir dipandu seorang lelaki dari arah Jelai menuju ke Melaka.

“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu lori pasir memberhentikan kenderaan di persimpangan dan mahu membelok ke kanan untuk masuk ke jalan utama.

“Bagaimanapun ketika sedang membelok, datang sebuah lori muatan kayu balak jenis Volvo dari sebelah kanan jalan utama melanggar bahagian kanan lori pasir itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kelindan lori balak berusia 28 tahun mengalami luka ringan di kaki kanan manakala pemandu lori pasir tidak mengalami kecederaan.

Amiruddien berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tampin untuk bedah siasat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini