comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemandu langgar motosikal ditunggang 4 beranak didenda RM6,000

KUALA LUMPUR : Pemandu pacuan empat roda yang tular di media sosial kerana melanggar motosikal ditunggang empat beranak, didenda RM6,000 selepas mengaku bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini.

Hukuman diputuskan Majistret Fatin Dayana Jalil, terhadap pereka grafik, Mohammad Harith Ismail berusia 22 tahun.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan, jika gagal membayar denda terbabit.

Mengikut pertuduhan, Mohammad Harith  didakwa memandu kenderaan itu secara tidak cermat di Lebuhraya Besraya dari arah Sungai Besi ke Balakong, jam 12.30 tengah hari, semalam.

Pendakwaan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntuk hukuman denda antara RM5,000 hingga RM10,000 dan boleh dipenjara tidak lebih 12 bulan, jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, R Harvind, memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal atas kesalahan membahayakan pengguna jalan raya lain.

Bagaimanapun, Mohammad Harith yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan kerana tidak sengaja melakukan kesalahan itu.

“Saya bukan orang sini (berasal dari Kuala Lumpur). Jadi, tidak tahu selok-belok jalan di lokasi kejadian.

“Saya juga tidak melarikan diri atau meninggalkan mangsa, sebaliknya terus hantar mereka ke hospital,” katanya.

Semalam, tular satu rakaman kamera papan pemuka atau ‘dashcam’ menunjukkan sepasang suami isteri yang menunggang motosikal bersama dua anak perempuan berusia lima dan tujuh tahun dilanggar sebuah kenderaan yang menukar laluan secara tiba-tiba.

Kejadian itu menyebabkan pasangan terbabit patah jari kaki dan luka di betis, manakala anak mereka cedera pada kepala, retak tulang pipi dan patah jari kaki.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini