Oleh: Kumaran Rajamoney
ALOR SETAR: Pemandu kren Tenaga Nasional Berhad (TNB) maut dalam satu kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Alor Setar-Sungai Petani, di Kota Sarang Semut, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir dalam satu kenyataan memaklumkan kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 4 pagi tadi.
Siasatan awal mendapati pemandu treler, Amiroolhakim Kamaroolzaman, 27 dalam perjalanan dari arah Alor Setar ke Sungai Petani manakakala pemandu kren TNB, Hasbullah Mohd Salleh, 38 dari arah bertentangan.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila treler yang dipandu Amiroolhakim hilang kawalan dan bahagian hadapan lori itu memasuki laluan bertentangan.
Kenderaan itu kemudiannya bertembung dengan bahagian hadapan kren TNB.
Hasbullah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat.
Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.