
SHAH ALAM: Pemandu kereta dipercayai memotong kenderaan lain sebelum bertembung dengan lori milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan sebagai punca kemalangan di Jalan Bukit Cerakah, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira 6.30 pagi di mana seorang warga tempatan memandu kereta dari arah Puncak Alam memotong kenderaan lain di hadapannya.
“Kereta berkenaan hilang kawalan lalu masuk ke arah laluan bertentangan dan melanggar lori PDRM.
“Akibat kemalangan itu, pemandu kereta mengalami kecederaan di kepala dan disyaki patah kaki, manakala pemandu dan dua penumpang lori PDRM mengalami cedera ringan.
“Dua anggota polis membantu mengeluarkan mangsa (pemandu kereta) yang mengalami kecederaan dari kereta yang terbakar. Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Vijaya Rao berkata, akibat pelanggaran itu, kereta berkenaan mengalami kerosakan bahagian hadapan dan terbakar hampir 90 peratus, manakala lori pula rosak kerosakan di bahagian hadapan.
Menurutnya, semakan mendapati kereta terbabit dari Puncak Alam menuju ke kilang di Kota Damansara, manakala lori PDRM dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat membawa Orang Kena Tuduh (OKT) di Pusat Koreksional, Puncak Alam.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor V Kumarendran di talian 017-5253136 atau mana-mana balai polis terdekat untuk membantu siasatan.
Terdahulu, media melaporkan empat terselamat dalam kemalangan membabitkan kereta yang bertembung dengan lori PDRM di Jalan Bukit Cerakah, Kapar, pagi tadi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.